Ketua jurulatih skuad hoki negara, Roelant Oltmans, merancang lima aksi ujian dan persahabatan menentang Kanada di Bukit Jalil, bulan depan bagi mengumpul mata ranking dunia selepas Piala Sultan Azlan Shah terpaksa ditunda.

Oltmans mempunyai perancangan lain untuk mengukuhkan kedudukan ke-11 ranking dunia Malaysia dan The Malaysian Hockey Tigers akan berdepan Kanada untuk empat aksi ujian selain satu perlawanan persahabatan.

Ia akan menjadi aksi sulung anak buah Oltmans sejak tewas dalam play-off kelayakan Sukan Olimpik di London, England, November tahun lalu.

"Kami menunggu pengesahan kerana sekarang ini, ia lebih kepada isu COVID-19. Jadi lampu hijau daripada pihak kerajaan diperlukan. Keadaan di sini selamat tetapi kami perlu tunggu keizinan," kata pengendali itu.

Dalam pertemuan terakhir kedua-dua pasukan ketika saingan Siri Final di Bukit Jalil, Mei tahun lalu menyaksikan Kanada menang 3-2.

Sementara itu, penyerang kebangsaan, Firhan Ashaari, sudah sedia untuk kembali ke pentas antarabangsa selepas berehat sejak 10 bulan lalu ekoran kecederaan lutut yang serius.

"Alhamdulillah, sekarang saya kembali bersama skuad kebangsaan. Namun, saya perlu lakukan yang terbaik seperti sebelum ini," katanya.

"Tidak dapat digambarkan proses pemulihan yang saya lalui dan ia bukan mudah tetapi syukur saya dapat menghadapinya. Kini, saya akan cuba dapatkan aksi terbaik."