Nuraini, Farah berpeluang sertai EHL

By Ammar Hakim 27 May 2020 86
Nuraini, Farah berpeluang sertai EHL
Nuraini Abd Rashid dan Farah Ayuni Yahya akan menjadi legasi kejayaan pelaburan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) terhadap skuad wanita negara sejak 2015 apabila kedua-dua pemain itu berpeluang menyertai Liga Hoki Eropah (EHL), tahun depan.

Nuraini dan Farah berpeluang mencipta sejarah baru hoki negara apabila kelab yang mereka wakili di England, East Grindstead yang layak menyertai EHL, tahun depan.

Ia terbukti pelaburan KHM terhadap skuad wanita sesuatu yang berbaloi.

Badan induk itu gembira dengan kejayaan kedua-dua pemain skuad kebangsaan itu namun perlu mengutamakan keselamatan sebelum mengeluarkan NOC.

NOC ialah pelepasan badan induk hoki sesebuah negara untuk pemain menyertai liga negara lain.

"Sebelum ini kami tidak pernah berbelanja besar untuk pemain wanita namun ia telah berubah bermula pada tahun 2015," kata Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal.

"Terdapat banyak faktor perlu diteliti terlebih dahulu ketika penularan wabak Covid-19," kata Timbalan Presiden KHM, Prof. Datuk Dr S. Shamala.

EHL hanya membabitkan juara dan naib juara liga di negara Eropah sekali gus bakal menyaksikan mereka akan jadi pemain pertama Malaysia menjejakkan kaki di pentas itu.

Persekutuan Hoki Eropah akan mengumumkan venue dan tarikh kejohanan dalam masa terdekat.

Kejayaan Nuraini dan Farah membakar semangat rakan sepasukan yang turut beraksi di luar negara.

Seramai 12 pemain wanita negara beraksi di Eropah iaitu England, Jerman dan Itali.

Bagi pemain negara yang mewakili kelab Jerman, Wespen Zehlendorfer, Hanis Nadiah Onn, pula berkata, "Ini merupakan satu berita yang baik kerana pemain-pemain tempatan dapat beraksi dalam saingan EHL. Semoga lebih ramai pemain negara dapat memperoleh pengalaman di pentas Eropah."

About Author

Ammar Hakim

Comment