Bekas kapten skuad hoki wanita negara, Siti Noor Amarina Ruhani, memasang impian untuk membantu Malaysia layak ke Sukan Olimpik dan Piala Dunia selepas Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) melantiknya sebagai jurulatih pelatih.

Amarina akan memulakan tugas sebaik sahaja skuad remaja atau senior wanita negara kembali berlatih.

KHM bersetuju melantiknya sebagai jurulatih pelatih berdasarkan pengalaman selama 16 tahun mewakili skuad wanita negara sebelum mengumumkan persaraan, bulan lalu.

Ia langkah pertama Amarina untuk membantu skuad wanita layak ke pentas Olimpik dan Piala Dunia buat kali pertama.

"Ini merupakan satu platform yang baik buat diri saya untuk terus bergiat dalam bidang ini. Apabila diberi peluang sebagai jurulatih, saya melihatnya satu langkah dan perancangan baik oleh KHM untuk memberi ruang kepada bekas pemain dan dalam masa sama, melahirkan lebih ramai jurulatih wanita di masa akan datang," katanya.

Mesyuarat jawatankuasa kejurulatihan KHM turut memutuskan proses temuduga calon jurulatih wanita dari luar negara akan disambung selepas perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dimansuhkan.