NHDP perlu elak pertindihan program TNB Thunderbolt 

By Shaiful Shamsudin 6 October 2020 110
NHDP perlu elak pertindihan program TNB Thunderbolt 
Kehadiran Paul Revington sebagai pengarah teknikal program pembangunan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menimbulkan persoalan mengenai masa depan program TNB Thunderbolt.

Program yang bermula sejak 13 tahun lalu itu terbukti berjaya melahirkan pemain bintang seperti Faizal Saari dan Firhan Ashaari.

Program TNB Thunderbolt umpama kilang yang melahirkan pemain hoki negara. Selain dua penyerang negara itu, program ini turut melahirkan ratusan pemain berbakat menerusi kerjasama dengan empat sekolah sukan Malaysia sejak 2007.

Masa depan program itu tidak dapat dipastikan memandangkan KHM berhasrat menggerakkan Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP) yang membabitkan 69 pusat latihan seluruh negara dalam masa terdekat.

"Sebelum ini memang ada ura-ura NHDP akan mula menggerakkan program hoki remaja di sekolah-sekolah. TNB Thunderbolt sememangnya bekerjasama rapat dengan empat sekolah berkenaan.

"Setakat ini kami belum dipanggil untuk bermesyuarat bagi membincangkan apakah peranan kami dan pihak sekolah ini.

"Program kami ini dibangunkan untuk pemain berumur 16 hingga 18 tahun dan mereka akan didedahkan dalam pertandingan Liga Hoki Remaja mahu pun Liga Hoki Malaysia. 

"Sekiranya ada pertindihan mengenai program kelak, kami sedia mengadakan perbincangan dengan pihak sekolah," kata ketua jurulatih program TNB Thunderbolt, Nor Saiful Zaini, kepada wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi, di ibu kota hari ini. 

Badan induk itu akan mengadakan perbincangan dengan beberapa pemegang taruh utama hoki negara mengenai perancangan NHDP, esok. 

Diharap perancangan itu umpama menarik rambut dalam tepung apabila kedua-dua program dapat berjalan seiring demi pembangunan hoki negara.

 

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment