Larangan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) bahawa tiada lagi skuad eksperimen dalam jelajah luar negara umpama menyempitkan peluang pemain simpanan seperti pertahanan, Mohd Najib Abu Hassan, untuk merebut tempat ke play-off kelayakan Sukan Olimpik Tokyo, November depan.

Tugas semakin sukar untuk pemain simpanan hoki negara susulan Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal, mengarahkan ketua jurulatih, Roelant Oltmans, membawa skuad terbaik untuk program latihan di Korea Selatan bulan depan bagi meningkatkan keyakinan pemain.

Ia susulan prestasi buruk dalam Kejohanan Ujian Sukan Olimpik Tokyo yang tamat semalam menyaksikan Malaysia meraih tangga tercorot dalam kalangan empat pasukan bertanding.

Tindakan itu positif tetapi apa kesan terhadap pemain simpanan?

"Mungkin perkara ini tidak boleh dijadikan alasan untuk merebut tempat dalam skuad utama. Kami bagaimanapun tetap perlu memberikan persembahan terbaik dan secara tidak langsung ia dapat meningkatkan lagi mutu pasukan," kata Najib.

11 pemain, termasuk enam yang menyertai program Jelajah Eropah, meneruskan sesi latihan di Bukit Jalil.

Mereka bersaing merebut tempat ke play-off kelayakan Sukan Olimpik, termasuk pemain utama yang direhatkan untuk tugas di Tokyo.

"Kami masih lagi berusaha untuk mendapatkan persefahaman di antara pemain-pemain dan diharap skuad penuh yang beraksi dalam Jelajah Korea dan kelayakan Sukan Olimpik mampu menterjemahkan keputusan positif," kata pemain negara, Fitri Saari.

Tonggak negara, Faizal Saari, turut menjelaskan, "Apa yang dirancangkan oleh Oltmans sangat baik kerana merehatkan beberapa pemain utama pasukan dan kami akan cuba bangkit selepas ini."