Malaysia kini selangkah lebih hampir untuk melayakkan diri ke Piala Dunia 2018 selepas melakar dua kemenangan dalam peringkat kumpulan dalam saingan separuh akhir Liga Dunia ke atas Korea Selatan dan China.

Penyerang negara, Faizal Saari, menyifatkan ketajaman Malaysia yang tidak membazir peluang di depan gol merupakan antara faktor mereka selesa menewaskan China 5-1.

"Kami menggunakan setiap peluang untuk menjaringkan gol dalam perlawanan berdepan China dan melayakkan diri ke Piala Dunia 2018," katanya.

"Saya sangat gembira dengan pencapaian kami. Malaysia mempamerkan corak permainan yang sangat baik dan saya mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan dan jurulatih pasukan," kata Shahril Saabah.

Kapten pasukan, Mohamad Sukri Abdul Mutalib, mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan serta barisan jurulatih yang berjaya membantu pasukan untuk mencipta kejayaan ini.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan saya, pihak kejurulatihan, Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN) dalam membantu skuad negara untuk menghadapi saingan Liga Hoki Dunia."

Malaysia menamatkan saingan Kumpulan A di tangga ketiga, sekaligus menempah slot ke perlawanan suku akhir berdepan India, esok.