Universiti Kuala Lumpur (UniKL) sedang berunding bersama bekas penolong jurulatih Ireland, Brendon Carolan, dan seorang pengendali tempatan menjelang Liga Hoki Malaysia (LHM) bulan depan.

Presiden UniKL, Profesor Dr Shahrulniza Musa, memaklumkan wartawan Astro Arena, Bazly Azmi, bahawa pihaknya turut memohon bantuan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) untuk membawa masuk pemain import.

Brendon memiliki reputasi membantu Ireland menjuarai Kejohanan Cabaran Juara-Juara 2 pada 2011 dan Siri Hoki Final 2012 ketika menggalas peranan itu.

Beliau juga memiliki pengalaman di Malaysia sebagai penolong jurulatih skuad Projek 2016 di bawah kendalian Arul Selvaraj.

Faktor itu menjadi tarikan utama UniKL untuk memancing jurulatih berusia 41 tahun tersebut.

"Memang benar kami mempertimbangkan beberapa jurulatih di dalam dan luar negara.

"Kita masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jadi itu semua memainkan peranan, kami juga tidak menolak jurulatih tempatan juga akan diambil," katanya.

THERE are only a handful of coaches in the annals of Malaysian hockey who boast of impressive resumes. A. Arul Selvaraj...

Posted by UNIKL Hockey on Tuesday, September 1, 2020


UniKL turut berusaha mendapatkan semula beberapa pemain import yang membantu mereka menjulang kejuaraan musim lalu.

Antaranya penjaga gol, David Harte, yang memainkan tugas penting ketika memastikan UniKL menjuarai liga tanpa sebarang kekalahan.

Sementara itu penolong jurulatih skuad projek khas negara, Megat Azrafiq Megat Termizi, mengesahkan ditawarkan tempat untuk mengemudi UniKL.

Beliau, yang bantu Malaysia meraih pingat emas Sukan Olimpik Remaja 2018, bagaimanapun menegaskan rundingan itu masih di peringkat awal.

"Ia satu tekanan buat saya kerana kita sudah sedia maklum ia bukan tugas yang mudah.

"Mereka merupakan juara tiga gelaran tahun lalu jadi ia bukan satu tugas yang mudah untuk sahut cabaran itu.

"Setakat ini cuma tawaran yang datang, belum ada pengesahan lagi," katanya.

Kredit imej: https://irishhockeyphotographers.zenfolio.com