Tenaga Nasional Berhad (TNB) menggugurkan dua pemain kebangsaan untuk diserapkan ke pasukan kedua mereka, TNB Thunderbolt, menjelang saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) 14 Januari ini.

Mereka adalah pertahanan, Mohd Najib Abu Hassan, dan pemain tengah, Amirul Aideed Arshad.

Ia berikutan pasukan itu sudah memiliki 10 pemain kebangsaan dan peraturan LHM hanya membenarkan enam pemain kebangsaan di atas padang bagi satu-satu perlawanan.

"Apa yang penting adalah mereka akan menjadi tulang belakang kepada pasukan TNB Thunderbolt kerana kehadiran mereka sangat-sangat membantu pemain muda di sana agar mereka dapat membimbing mereka (pemain muda) ke tahap lebih tinggi," kata ketua jurulatih TNB, Nor Azlan Bakar, kepada Nadi Arena.

"Alasannya adalah supaya mereka dapat bermain sepenuhnya. Jika mereka berada dalam pasukan utama TNB, mereka akan kurang bermain.

"Akan sampai satu tahap di mana mereka tidak tersenarai (dalam perlawanan) kerana undang-undang yang hanya membenarkan enam pemain kebangsaan pada satu ketika," katanya.