Pasukan Hoki Terengganu (THT) boleh menarik nafas lega apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberikan pelepasan kepada tiga penyerang mereka, Faizal Saari, Shello Silverius dan Abdul Khaliq Khamirin, yang disahkan positif COVID-19 minggu lalu, untuk kembali berlatih selepas 10 hari dikuarantin tanpa sebarang gejala.

Bagaimanapun, kesemua pasukan yang akan menyertai Liga Hoki Malaysia (LHM) akan menjalani satu lagi ujian saringan sebelum menyertai gelembung kejohanan itu Rabu depan.

Dalam satu temu bual Nadi Arena hari ini, ketua jurulatih THT, K. Rajan, berkata: "Pagi ini, Faizal dan Khaliq nampak sperti biasa, mereka baik-baik sahaja.

"Mereka (KKM) sudah memberikan surat (pelepasan) itu, dan kami sudah memberikannya kepada pihak yang berkenaan agar segala-galanya lebih jelas.

"Jadi kami mendapatkan kembali khidmat tiga pemain kami.

"Sudah pasti kami belum cukup persiapan kerana Shello dan Faizal merupakan pemain utama.

"Khaliq juga diperlukan tetapi pemain seperti Faizal sememangnya amat diperlukan kami.

"Jadi, Saya gembira dan lega dengan perkembangan terbaru ini," katanya.