LHM: THT lega tiada kes baru COVID-19

By Shaiful Shamsudin 26 February 2021 53
 LHM: THT lega tiada kes baru COVID-19
Terengganu Hockey Team (THT) boleh menarik nafas lega setelah kelompok kedua yang terdiri daripada pemain dan pegawai disahkan negatif COVID-19 untuk meneruskan perancangan mereka bagi menghadapi Liga Hoki Malaysia (LHM) 2020 bulan depan. 

Bagaimanapun, status penyertaan tiga pemain yang positif tersebut menjadi tanda tanya tatkala tarikh tutup pendaftaran liga akan berakhir 1 Mac ini.

"Kumpula kedua pemain yang ujian saringan semuanya negatif. 

"Pengurusan sangat gembira tiada lagi pertambahan dalam kes positif COVID-19 (dalam pasukan kami).

"Pasukan akan teruskan menjalani latihan seperti biasa mengikut SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan, " kata pengurus THT, Mohd Rafhan Harun, kepada wartawan Astro Arena, Adam Zamri, hari ini. 

 

Sama-sama kita doakan semoga semua dipermudahkan buat 3 pemain Terengganu Hockey Team yang dilaporkan positif #COVID19....

Posted by Persatuan Hoki Terengganu on Friday, February 26, 2021


Ia mencetuskan kelegaan setelah pasukan Pantai Timur itu menerima tamparan semalam apabila tiga pemainnya yang ditunjangi Faizal Saari, Shello Silverius dan Abdul Khaliq Khamirin  disahkan positif wabak tersebut.

Mereka merupakan sebahagian daripada kelompok 10 pemain THT yang berpangkalan di Lembah Klang menjalani ujian Selasa lalu. 

Namun, dengan perkhabaran terbaru itu, THT tetap akan meneruskan pelan menjalani latihan  pada Ahad ini disusuli perlawanan persahabatan menentang Maybank, Rabu depan, sebagai persiapan menghadapi LHM yang akan membuka tirai 11 Mac depan.

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) sebelum ini mewajibkan semua 14 pasukan terdiri daripada lapan pasukan dalam saingan lelaki dan enam bagi wanita termasuk pegawai menjalani ujian saringan.

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment