K Rajan sanggup meninggalkan skuad kebangsaan Singapura yang dibimbingnya sejak empat tahun lalu untuk menyertai gergasi Pantai Timur, Terengganu Hockey Team (THT).

Jurulatih itu mengesahkannya kepada wartawan Astro Arena, Bazly Azmi, bahawa THT sedang berunding dengan pakar pukulan sudut penalti Korea Selatan, Jang Jong-hyun, menjelang Liga Hoki Malaysia (LHM), bulan depan.

"Kontrak saya sepatutnya berakhir hujung bulan ini dan saya merancang untuk kembali ke Ipoh, Perak.

"Kebetulan Terengganu tawarkan kontrak, malah 80 peratus dalam kalangan pemain-pemainnya saya kenali sejak dari muda.

"Saya selesa di sini. Lagipun sudah 13 tahun saya tidak mengendalikan pasukan dalam saingan liga kebangsaan," katanya ketika dihubungi.

Dalam masa sama, Rajan tidak menolak bahawa THT masih menagih pakar pukulan sudut penalti, Jong-Hyun, biarpun pengurusan itu sudah menyatakan akan mengerah kudrat tempatan sempena saingan musim depan.

"Kami bercadang mengambil Jang yang telah bersama kami selama tujuh tahun tetapi kami belum tahu adakah boleh mendapatkan khidmatnya disebabkan situasi COVID-19.

"Kalau tidak dapat sentuhannya tetap tidak mengapa. Pemain-pemain tempatan juga bagus.

"Selama ini THT mempunyai dua pakar pukulan sudut penalti iaitu Faizal Saari dan Jang," katanya lagi.
Untuk rekod, TNB mengumumkan Azlan Bakar dan S. Kumar dalam pasukan kejurulatihan sementara I Vikneswaran akan menerajui Sabah.