Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mempertimbangkan semula keputusan melarang penonton untuk menyaksikan Liga Hoki Malaysia (LHM), bermula bulan depan selepas mendapat lampu hijau daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

MKN membenarkan penonton dengan jumlah 10 peratus kapasiti stadium atau maksimum 4,000 untuk menyaksikan aktiviti sukan mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Ia meningkatkan keyakinan badan pengelola liga itu untuk membuka pintu menjelang LHM di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, bermula 14 Januari depan.

Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal, akan membincangkan isu itu bersama Jawatankuasa Pertandingan KHM pada minggu depan biarpun sebelum ini mengambil langkah tidak membenarkan kemasukan penyokong.

"Ada mahupun tiada penyokong bukan satu isu, yang penting adalah perlawanan.

"Kejohanan boleh diteruskan, pemain dapat berpeluang beraksi kompetitif dan kami memerlukan perlawanan.

"(Ini kerana) jadual tahun depan sangat sibuk buat pasukan hoki lelaki dan wanita.

"Sangat sukar untuk mendapatkan peluang beraksi kerana pasukan tidak dapat bertandang ke tempat lawan," katanya kepada wakil Astro Arena, Bazly Azmi, di Bukit Jalil, hari ini.




Sementara itu, bekas pertahanan negara, A Kannagi, dilantik selaku jurulatih Young Tigress sekali gus akan membuat penampilan sulung dalam Liga Hoki Wanita Malaysia (LHMW).

Kannagi pernah bantu Kuala Lumpur Wipers meraih tangga kelima pada musim 2017 dan 2018.

"Semestinya kami tidak benarkan pasukan lain menang dengan mudah.

"Kami sedang mengenal pasti pemain yang berpotensi untuk mewakili pasukan negara pada masa akan datang.

"Kami akan berikan tentangan hebat kepada semua pasukan," katanya.

Sementara itu, Jiwa Mohan, dijangka muncul pemain paling berusia LHM 2021 apabila mengesahkan status sebagai pemain tengah Sabah pada usia 39 tahun.

Jiwa pernah mewakili lima pasukan berbeza sejak 1999 dengan Nur Insafi sebagai pasukan terakhir pada 2019.

Dia antara beberapa pemain senior yang akan mewakili wakil Borneo itu termasuk B Namasivayam, Baljit Singh Sarjab Singh, Harmeet Singh dan Mohd Syamim Yusof.