KHM perkenal Projek Khas Sukan Asia 2026

By Ammar Hakim 13 July 2020 70
KHM perkenal Projek Khas Sukan Asia 2026
Pemain hoki wanita negara tidak lagi dipecahkan kepada dua sebaliknya kedua-dua skuad senior dan remaja kini digabungkan dalam satu pasukan yang dikenali sebagai Projek Khas Sukan Asia 2026. 

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal berkata 80 peratus pemain pasukan projek itu terdiri daripada mereka berumur bawah 21 tahun manakala 20 peratus berusia lebih 21 tahun. 

Beliau, bagaimanapun berkata ketua jurulatih yang bakal membimbing pasukan projek khas itu belum diputuskan, dan pihaknya memerlukan sedikit masa untuk meneliti perkara itu.

 "Kita sudah senarai pendek dua calon tempatan dan dua calon luar negara. Siapa pun yang bakal jadi ketua jurulatih, dia akan mula lapor diri selewat-lewatnya 1 Sept ini," katanya pada sidang media di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, di sini hari ini.



Subahan berkata KHM tidak mahu terburu-buru membuat keputusan kerana individu yang akan dipilih mempunyai tugas besar untuk meletakkan skuad hoki wanita negara di satu tahap yang tertinggi dalam tempoh enam tahun akan datang.
 
"Selepas ini hanya akan ada satu pasukan wanita sahaja tetapi dengan enam tahun persediaan dan pembiayaan yang mencukupi, saya rasa memadai untuk kita cipta sesuatu pada Sukan Asia 2026," katanya. 

Selain pasukan hoki wanita, beliau berkata pasukan remaja lelaki negara turut diletakkan di bawah Projek Khas Sukan Asia 2026 yang akan diselia oleh pengarah teknikal baharu KHM yang akan dilantik 1 September ini. 

Subahan berkata pengarah teknikal itu bukan hanya ditugaskan untuk memantau ketua jurulatih skuad remaja lelaki dan pasukan wanita, tetapi turut akan bekerjasama rapat dengan Jawatankuasa Pembangunan KHM yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden KHM Prof Dr S Shamala bagi Program Pembangunan Hoki Kebangsaan. 

Selain itu, Subahan turut mengumumkan pelantikan Ketua Jurulatih UniKL, Arul Selvaraj sebagai ketua pembantu jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan. 

Arul yang akan memulakan tugas secara rasmi pada 15 Ogos ini, bakal digandingkan dengan  Ketua  Jurulatih, Roelant Oltmans serta Penolong Jurulatih sedia ada, Muhamad Amin Rahim dan Jurulatih  Penjaga  Gol, Nasihin Nubli Ibrahim. 

-- BERNAMA 

About Author

Ammar Hakim

Comment