Pertahanan hoki negara, Muhammad Razie Abd Rahim, gembira dengan keserasian rakan sepasukan yang makin baik walaupun tewas, 1-3 kepada Great Britain dalam aksi persahabatan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Ia kekalahan kedua berturut-turut The Malaysian Hockey Tigers menentang pasukan yang akan menyertai Sukan Olimpik Tokyo.

Ada faktor positif di sebalik kekalahan di tangan Great Britain, ranking ketujuh dunia.

Kesilapan kurang dilakukan, pemain semakin faham taktikal Arul Selvaraj dan paling penting, keserasian makin baik walaupun skuad negara hanya sempat berlatih dua hari sebelum aksi persahabatan tiga penjuru itu bermula.

"Perkara paling penting adalah bermain dengan lebih baik berbanding perlawanan pertama. Ini merupakan perlawanan kedua dan prestasi sangat baik di sebalik kekalahan kepada Great Britain," kata Razie.

Pemain tengah, Rupert Shipperley, membuka tirai jaringan pada minit ke-35.

Great Britain makin selesa apabila penyerang, Phil Roper, melebarkan jaringan, seminit kemudian.

Pakar pukulan sudut penalti, Adam Dixon, menjaringkan gol menjadikan kedudukan 3-0, pada minit ke-44.

Suku terakhir, Malaysia bangkit melancarkan serangan dan meraih pukulan sudut penalti.

Razie menyempurnakan peluang itu, namun tidak cukup untuk menghalang kekalahan kedua aksi persahabatan.

Tewas namun prestasi Malaysia lebih baik berbanding ketika tewas kepada Jepun, Ahad lalu.