Skuad hoki negara terpaksa bergantung kepada pakar pukulan sudut penalti, Shahril Saabah dan Faizal Saari, untuk menumbangkan skuad pembangunan 2-0, sekaligus meraih kemenangan kedua berturut-turut dalam aksi persahabatan terakhir di Stadium Hoki Tun Razak, semalam.

Ketiadaan beberapa pemain utama ekoran kecederaan dan masalah kesihatan menjejaskan kekuatan Malaysia.

Skuad kendalian Stephen Van Huizen itu bergelut pada separuh masa pertama apabila skuad pembangunan berjaya mematahkan beberapa serangan mereka.

Mujur, The Malaysian Hockey Tigers memiliki pakar pukulan sudut penalti seperti Faizal dan Shahril untuk menyelamatkan maruah skuad utama negara.

"Yang penting pemain tampak lebih tajam dan pergerakan mereka juga lebih baik.

"Saya rasa kami dalam keadaan baik bagi menghadapi Piala Sultan Azlan Shah," kata penolong jurulatih negara, Lim Chow Chuan.

Malaysia di depan menerusi Faizal pada separuh masa pertama, diiikuti Shahril selepas rehat.

Selepas ini, skuad negara akan menghadapi New Zealand dalam aksi persahabatan di venue sama, 23 dan 24 April ini sebagai medan pemilihan terakhir ke Ipoh.

"Apa yang saya lihat, permainan kami tampak lebih baik. Tetapi kami perlu mencapai kombinasi dan keserasian lebih baik sebelum Piala Sultan Azlan Shah," kata Sukri Mutalib selaku kapten skuad hoki negara.