Firhan mula cari rentak bersama The Malaysian Hockey Tigers

By Shaiful Shamsudin 1 July 2020 90
Firhan mula cari rentak bersama The Malaysian Hockey Tigers
Kelibat penyerang skuad hoki negara, Firhan Ashaari, mencuri tumpuan pada hari pertama sesi latihan skuad kebangsaan hari ini. 

Ini kali pertama Firhan memegang kayu hoki sejak kecederaan lutut 'anterior cruciate ligament (ACL)' , 10 bulan lalu seperti yang dikongsikan wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi.

Seramai 31 pemain menyertai sesi latihan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil yang dibahagikan dengan dua kumpulan.

Pemenang pingat perak Sukan Asia 2018 itu mencuri tumpuan memandangkan sejak menjalani pembedahan ACL, ini kali pertama dia dapat bermain hoki.

Malah, tonggak Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu ini dilihat bernasib baik apabila masih tersenarai dalam skuad kebangsaan meskipun terpaksa berehat panjang sebelum ini.

 

Skuad senior negara kembali menjalani latihan padang hari ini dengan pembahagian dua kumpulan dilakukan bagi memastikan...

Posted by Malaysian Hockey Confederation on Wednesday, July 1, 2020


"Saya perlu beransur-ansur mengembalikan rentak sebenar. 

"Saya berasa agak kekok tetapi saya perlu dapatkan sentuhan sebenar dengan secepat mungkin," katanya. 

Sementara itu, penolong jurulatih hoki negara, Mohd Nasihin Nubli, menganggap pemain negara memerlukan sedikit masa untuk kembali mendapatkan rentak sebagai atlet selepas berehat lama. 

"Kebanyakan pemain berasa teruja tetapi sebagai manusia biasa, ada yang terasa berat ketika memegang kayu pemukul. 

"Inilah tujuan sebenar latihan ini. Dalam jangka masa seminggu, keadaan mereka akan pulih.

"Kalau dilihat dalam kemahiran teknikal mereka tadi, sentuhannya agak karat," katanya. 

Malaysia dijadual menyertai Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia di Dhaka, Bangladesh, November depan.

Tinjauan sesi latihan hari ini menyaksikan program terhad kepada sesi solo seperti minggu pertama apabila dua pemain berada berada di satu gelanggang tanpa melibatkan sebarang sentuhan.

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment