"Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu", itu peribahasa sesuai dikaitkan dengan penyerang muda kebangsaan, Muhammad Noor Firdaus Rosdi, yang berjaya mencuri tumpuan pengendali, Roelant Oltmans, untuk dipertaruhkan dalam tugas penting skuad hoki negara.

Penyerang berusia 19 tahun itu dipilih dalam senarai 18 pemain terbaik pada tahun pertamanya menyertai skuad kebangsaan untuk dibawa ke London bagi menghadapi kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Firdaus enggan mensia-siakan peluang yang diberi dan mahu membalas kepercayaan Oltmans dengan membantu The Malaysian Hockey Tigers memburu kemenangan dalam aksi menentang Great Britain di Pusat Hoki Lee Valley, London bulan depan.

Penyerang muda itu turut mengakui perlu memanfaatkan baki dua perlawanan persahabatan terakhir berdepan kelab Belanda, Gazellen Combinate (HGC) dan Kelab Hoki Bloemendaal, Sabtu dan Ahad ini.

"Saya tidak jangka dapat beraksi bersama skuad kebangsaan. Banyak lagi perkara yang perlu saya pelajari daripada pemain-pemain senior," katanya.

Sementara itu, pemain tengah kebangsaan, Muhammad Marhan Mohd Jalil, mahu mengulangi detik manis dua tahun lalu apabila berjaya meraih tiket ke Piala Dunia 2018, sekali gus ia akan dijadikan sebagai penyuntik keyakinan buat mereka di London nanti.

"Kami sebagai pemain akan memberikan yang terbaik dan apa yang perlu dilakukan adalah persembahan di London," katanya.