Empat pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diberi penghormatan menyertai skuad pembangunan negara untuk persiapan ke Kejohanan Hoki Dalam Dewan Asia di Doha, Qatar, bermula 24 April ini.

Mereka adalah antara pakar hoki dalam dewan dan pernah mewakili Malaysia beberapa kali sebelum ini.

"Saya berasa bangga kerana terpilih untuk menjalani latihan bersama pasukan kebangsaan yang akan ke Doha bagi menghadapi Kejohanan Dalam Dewan Asia," kata pemain tengah, Mohd Hanip Che Halim.

Sementara itu, penyerang, Syafiq Yaakob, berkata: "Peluang saya terpilih ke Doha bergantung kepada prestasi saya dalam sesi latihan."

Skuad negara hanya menyediakan 12 tempat untuk ke Doha dengan jurulatih, Wallace Tan, akan mengumumkan senarai nama minggu ini.

Malaysia buat kali pertama akan menghantar pasukan kebangsaan untuk mencabar kejohanan tersebut yang sebelum ini menjadi tugas pasukan negeri atau kelab.

Selain itu, ia turut menjadi persediaan bagi skuad negara memburu pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur, 19-31 Ogos nanti.

Di Doha, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Iran selaku juara enam kali selain tuan rumah dan Oman.