Ketua jurulatih skuad hoki negara, Arul Selvaraj, tidak dapat mengendalikan sesi latihan kerana perlu menjalani kuarantin selepas didapati terlibat dengan perbincangan bersama seorang pegawai Institut Sukan Negara (ISN), yang disyaki menjadi kontak rapat COVID-19.

Arul tidak menyertai sesi latihan skuad kebangsaan sejak Ahad lalu selepas bertemu dengan sorang individu yang merupakan orang dalam siasatan (PUI) kes positif COVID-19.

Selain Arul, dua lagi jurulatih skuad kebangsaan turut dikuarantin dan sesi latihan skuad kebangsaan kini diambil alih oleh pemain senior seperti Razie Rahim, Marhan Abdul Jalil dan Faizal Saari.

Dalam satu panggilan video bersama Nadi Arena, pengendali itu berkata: "Apa yang baiknya, ia tidak melibatkan pemain kerana kesemua pemain sedang dikuarantin di asrama. Cuma ada dua pegawai lain yang turut dikuarantin seperti saya.

"Ia tidak memberikan kesan kepada skuad kebangsaan kerana saya dapat menggunakan peluang ini untuk memperkasakan pemain seperti kami mempunyai lapan hingga 10 orang pemimpin yang diketuai oleh Razie Rahim.

"Saya rasa setakat ini dia telah melakukannya dengan amat baik. Mereka mengambil tanggungjawab itu sesama sendiri walaupun tanpa saya dan jurulatih Amin (Rahim).

"Saya mengikuti perkembangannya dan mereka amat berdisiplin dan fokus sebagai satu kumpulan," katanya.