Kewibawaan bekas pakar pukulan sudut penalti negara, Amin Rahim, sebagai jurulatih bakal teruji bermula 5 Julai depan, tatkala dia bakal menggalas tugas selaku pemangku ketua jurulatih skuad hoki kebangsaan.

Amin yang bertindak sebagai penolong pengendali sebelum ini akan memimpin latihan skuad senior lelaki bersama pengurus, Nasihin Nubli, sepanjang ketiadaan ketua jurulatih, Roelant Oltmans, yang perlu dikuarantin selama dua minggu.

Ia cabaran buat Amin yang perlu memastikan pemain mematuhi prosedur operasi standard SOP) yang ditetapkan di sebalik sukan hoki mempunyai kecenderungan untuk bersentuhan antara satu sama lain.

Skuad negara mempunyai tempoh empat bulan sahaja sebelum menghadapi Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Dhaka, Bangladesh, November depan.

"Kalau dilihat, memang sukan ini melibatkan kontak yang normal. Pemain teruja untuk turun ke padang tetapi mereka boleh menerima normal baru, tidak boleh melibatkan apa-apa kontak," kata Amin.

Semua pemain negara akan melaporkan diri pada Ahad depan termasuk skuad remaja lelaki dan wanita dengan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) akan membahagikan mereka dalam beberapa kumpulan kecil sebagai salah satu prosedur yang perlu dipatuhi ketika menjalani latihan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Buat skuad wanita, mereka mungkin terpaksa bermula lewat memandangkan KHM masih meneliti senarai calon yang akan mengemudi The Malaysian Tigress.

"Pasukan senior wanita akan melaporkan diri selepas jurulatih diumumkan. Kami perlu ada beberapa perbincangan mengenai hala tuju pasukan sambil pemilihan pemain harus dilakukan dengan teliti kerana ia melibatkan perancangan untuk empat tahun akan datang," kata Timbalan Presiden KHM, Prof. Dr. S. Shamala.