Kapten skuad hoki wanita negara, Siti Noor Amarina Ruhani, mengambil keputusan untuk bersara.

Keputusan mengejut itu diumumkan Amarina selepas berkhidmat selama 16 tahun untuk Malaysia dan dilihat masih mampu beraksi di pentas antarabangsa.

Amarina merupakan pemain paling dihormati dalam skuad negara, dia telah mencatatkan kap pertama dalam saingan Piala Jemputan Indira Ghandi di India ketika berusia 16 tahun sebelum dilantik kapten kebangsaan pada 2004.

Sepanjang 16 tahun mewakili negara, Amarina pernah merangkul pelbagai kejuaraan termasuk tiga pingat emas Sukan SEA, tangga kelima Sukan Komanwel 2006 dan kelima Sukan Asia 2018.

Pertahanan kelahiran Pulau Pinang itu mengumumkan persaraan menerusi laman sosial selepas berbincang dengan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

"Perancangan saya untuk bersara adalah tahun lalu namun menangguhkannya untuk terus beraksi di pentas antarabangsa. Namun faktor umur antara punca mengambil keputusan untuk bersara dan meninggalkan skuad kebangsaan," kata Amarina.

"Kenangan terindah buat saya bersama skuad kebangsaan adalah pada tahun 2018 dalam saingan kelayakan Piala Dunia di Belgium. Kami hanya selangkah untuk ke Piala Dunia namun gagal mendapatkan tempat.

"Terdapat beberapa pemain senior yang mampu menggalas tugas selaku kapten pada masa akan datang. Saya yakin pasukan akan terus meningkat naik dengan barisan pemain-pemain yang berbakat."

Apabila ditanya oleh wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi, mengenai peluang untuk menyertai bidang kejurulatihan, Amarina berkata, "Saya sangat berminat dalam bidang tersebut, saya dan KHM akan berbincang dengan lebih lanjut selepas ini."