Tonggak hoki kebangsaan, Faizal dan Fitri Saari, antara pemain yang dipinggirkan Roelant Oltmans sejak Februari lalu.

Mereka perlu memikat hati pengendali baru The Malaysia Hockey Tigers, Arul Selvaraj, menerusi Piala Razak, bulan depan yang juga merupakan medan pemilihan untuk membarisi skuad kebangsaan.

"Saya ada keinginan yang besar untuk kembali ke pangkuan pasukan kebangsaan.

"Saya perlu berjumpa dengan KHM (Konfederasi Hoki Malaysia) untuk berbincang dengan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, mengenai soal pekerjaan saya.

"Kalau mahu kembali, saya perlu cari semula kecergasan dan rentak permainan sebab sudah lima bulan saya kurang dalam hoki.

"Saya perlu menguruskan masa dengan sebaik mungkin.

"Sebelum ini ketika bergelar pemain merangkap penuntut juga begitu," katanya.

Baginya, Arul sudah mempunyai kredibiliti ketika mengemudi skuad kebangsaan dalam Sukan Asia Incheon 2014 yang menyaksikan Malaysia mara ke separuh akhir.

"Kami sudah menyedari kebolehannya tetapi kami perlu bersatu hati.

"Walaupun berdepan tempoh yang singkat (dia berjaya membawa kami ke separuh akhir), jadi saya harap dengan tempoh persiapan yang panjang, kami dapat memperoleh kemenangan dalam setiap kejohanan," katanya.