Meskipun jelek dengan aksi sendiri, kemenangan tetap bermakna buat pemain skuasy lelaki utama negara, Mohd Nafiizwan Adnan, yang mengesahkan laluan ke pusingan ketiga Sukan Komanwel Gold Coast, hari ini.

Aksi sulung menemukan Nafiizwan di kedudukan ke-35 dunia dengan wakil New Zealand, Evan Williams, yang berada jauh di bawah rankingnya, 94. Atas dasar itu, dia kecewa apabila membenarkan lawan untuk merekodkan kemenangan 11-7 dalam set awal.

Malah, dalam memenangi tiga set berikutnya 11-5, 11-8, 11-6, Nafiizwan masih tidak selesa dengan aksinya di dalam gelanggang.

"Ia bukan apa yang saya mahukan, bagaimanapun, menang tetap menang. Jadi, saya perlu kaji semula apa yang berlaku hari ini.

"Saya gagal menyesuaikan diri dan keadaan menjadi kelam-kabut. Akhirnya, dalam set kedua dan seterusnya, saya kembali menemui rentak dan meraih kemenangan," katanya.

Cabarannya selepas ini adalah berdepan wakil tuan rumah, Ryan Cuskelly.

"Esok saya akan bertemu Ryan Cuskelly dan kami berada di tahap yang sama, masing-masing pernah menang.

"Siapa yang melakukan persiapan lebih awal akan mudah menyesuaikan diri kerana esok kami akan beraksi di gelanggang berbeza," kata Nafiizwan lagi.