Hasrat ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David, untuk cuba mendapatkan pingat emas peribadi ketiga berturut-turut di pentas Sukan Komanwel terpaksa dilupakan setelah tunduk di tangan Joelle King 3-1 dalam separuh akhir di Oxenford Studios, sebentar tadi.

Nicol, yang merupakan pemenang emas edisi 2010 (New Delhi) dan 2014 (Glasgow), turun dalam separuh akhir di Gold Coast 2018 selepas mengatasi Alison Waters dari England 3-2 di peringkat suku akhir semalam.

Bagaimanapun, menentang Joelle yang mewakili New Zealand, Nicol dilihat bergelut untuk mendapatkan rentak di permulaan aksi apabila tewas 13-11 dan 11-5 dalam dua set awal.

Walaupun mempamerkan kebangkitan dalam set ketiga dengan kemenangan 11-1, Nicol terpaksa akur dengan kehebatan Joelle apabila tewas 11-5 dalam set keempat, sekali gus terpaksa menerima kekalahan dalam aksi yang berlangsung selama 39 minit itu.

Nicol masih berpeluang untuk menyumbangkan gangsa buat Malaysia apabila turun menentang wakil Wales, Tesni Evans, dalam penentuan tempat ketiga dan keempat esok.

"Bagi saya, Joelle mempamerkan permainan yang hebat, menggunakan taktik yang tepat. Aksi set pertama tentunya amat penting. Bagaimanapun, saya telah melakukan yang terbaik dan kini hanya mahu menumpukan perhatian untuk meraih gangsa.

"Sudah tentu mengecewakan apabila tewas tetapi saya sudah melakukan apa yang mampu," kata Nicol.