Skuad ping pong negara yang dibarisi pemain-pemain muda melakar pencapaian memuaskan selepas melepasi sasaran Persatuan Pingpong Malaysia (TTAM) dengan kutipan satu pingat gangsa dalam temasya Gold Coast 2018.

Berbanding beberapa temasya terdahulu, Sukan Komanwel Gold Coast menyaksikan skuad ping pong negara dibarisi pemain-pemain muda.

Tatkala Karen Lyne, Alice Chang, Tee Ai Xin dan Javen Choong melakukan penampilan sulung di pentas Sukan Komanwel, pemain-pemain seperti Ho Ying, Ashraf Haiqal Rizal dan Leong Chee Feng pula beraksi buat kali kedua selepas edisi 2014 di Glasgow.

Sasaran yang ditetapkan sekadar mara ke suku akhir dalam setiap acara, namun kejutan dilakukan dalam saingan beregu wanita.

Gandingan Ho Ying-Karen mencipta kenangan manis pada kali ini apabila layak hingga ke separuh akhir sebelum menampilkan aksi cemerlang memenangi gangsa.

"Secara keseluruhan, skuad pingpong menampilkan aksi memuaskan walaupun hanya pemain wanita yang menghadiahkan gangsa. Mereka sudah melakukan penampilan yang baik.

"Berbanding pasukan lain, Malaysia menampilkan pemain-pemain muda," ujar jurulatih ping pong negara, Beh Lee Wei.

Barisan pemain lelaki negara pula mencapai sasaran ke suku akhir dalam saingan berpasukan tetapi gagal menyerlah dalam acara individu susulan terkandas di peringkat 16 akhir.

Bagaimanapun, aksi dalam Komanwel Glasgow kekal menjadi pencapaian terbaik Malaysia menerusi kutipan perak berpasukan wanita manakala ketika edisi 2010 di New Delhi, Malaysia memenangi gangsa dalam acara sama.

"Satu perkembangan bagus apabila melihat mereka bersaing dengan pemain-pemain luar yang jauh lebih tinggi daripada segi kedudukan.

"Karen beraksi buat kali pertama dalam Sukan Komanwel dan kami menyasarkan suku akhir, di mana ia bukan sesuatu yang mudah, dan membuatkan kami gembira."