Pelari sensasi Jamaica, Yohan Blake, terlepas peluang untuk meraih pingat emas pertamanya dalam Sukan Komanwel selepas sekadar menduduki tempat ketiga dalam acara akhir 100 meter lelaki di Stadium Carrara, sebentar tadi.

Turun sebagai pilihan utama, Blake mengalami sedikit masalah ketika permulaan lariannya, membolehkan dua wakil Afrika Selatan, Akani Simbine dan Henricho Bruintjies, mengatasinya.

Simbine mencatatkan masa 10.03 saat untuk mengesahkan emas buatnya, meninggalkan Bruintjies (10.17s) di tempat kedua sementara Blake (10.19s) membawa pulang gangsa.

Sementara itu, pelari Trinidad and Tobago, Michelle-Lee Ahye, mengatasi cabaran dua wakil Jamaica untuk mengutip emas buat negaranya dalam acara 100m wanita.

Ledakan larian daripada awal membolehkan Ahye memiliki kelebihan 0.07 saat berbanding Christania Williams dari Jamaica untuk terus mendahului sehingga tamat saingan akhir.

Pelari berusia 25 tahun itu mencatatkan masa 11.14s untuk membenam cabaran Christania dan Gayon Evans, sekaligus membawa pulang emas selepas kedua-duanya meraih masa larian 11.21s dan 11.22s untuk sekadar berpuas hati dengan perak dan gangsa.