Pelumba berbasikal trek wanita negara, Farina Shawati Adnan, tetap memberikan kebanggaan dengan hampir menaiki podium apabila menduduki tempat keempat dalam final acara keirin wanita di Velodrom Anna Meares, malam ini.

Dia mencipta sejarah tersendiri apabila muncul wanita pertama negara beraksi di pentas final acara itu dalam Sukan Komanwel selepas rakan senegara, Fatehah Mustapa, dinafikan peluang ke peringkat akhir susulan pembatalan penyertaan ketika separuh akhir.

Farina, bagaimanapun, akur dengan kehebatan dua wakil Australia, Stephanie Morton dan Kaarle McCulloch, serta pelumba New Zealand, Natasha Hansen.

"Ia adalah pencapaian tertinggi saya memandangkan ini kali pertama saya beraksi dalam Sukan Komanwel. Jadi, walaupun tidak menang tetapi saya berpuas hati dengan pencapaian saya," kata Farina.