GBX E-Sports Team muncul juara keseluruhan FIFA21 minggu keempat, iaitu minggu terakhir Zon 2 Divisi 1, Kejohanan FIFA Club World Cup selepas menewaskan pasukan dari Jepun, Singapura, Hong Kong dan Malaysia.

Walaupun terpaksa berhempas-pulas di “lower bracket”, namun GBX Esports Team tetap berjaya mendominasi kejohanan itu seterusnya menjadi pasukan pertama dari Malaysia yang melayakkan diri ke peringkat akhir kejohanan dunia yang diiktiraf badan bolasepak dunia, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), iaitu FIFAe Club World Cup.
GBX Esports Team turut diiringi pasukan dari Malaysia dan dua pasukan dari Jepun untuk mewakili Zon 2 iaitu Zon Asia.

Pasukan GBX diwakili dua pemain ternama FIFA21 tanah air, iaitu Luqman “LuqmanHzq” Haziq dan Ahmad “Ayen” Shahrin. Kejohanan ini merupakan salah satu kejohanan yang menjadi rebutan kelab sukan elektronik di serata dunia dan seterusya memberikan mata tambahan bagi melayakkan diri ke kejohanan FIFAe World Cup. Sebelum ini, LuqmanHzq dan Ayen pernah bergandingan dan berjaya merebut kejuaraan dalam Kejohanan Gamergy di Madrid, Sepanyol.






Kejohanan FIFAe Club World Cup ini mempunyai dua peringkat; peringkat kumpulan dan peringkat kalah mati. Pasukan GBX diletakkan dalam kumpulan bersama pasukan elektronik dari negara Indonesia, Jepun dan Singapura. Terdapat 2 kategori yang perlu dimainkan iaitu kategori Playstation 4 dan Xbox One.

“Kami sememangnya ingin membuktikan bahawa pasukan dari Malaysia mampu untuk mendominasi sukan elektronik FIFA khususnya di peringkat antarabangsa. Kejayaan menjuarai Zon 2 Divisi 1 ini adalah kejayaan bersama yang kami ingin kongsikan kepada semua peminat”, kata pengurus pasukan GBX, En. Aris Danial.

Pada Oktober 2020, Gamesbond dan pasukan sukan elektronik nombor 1 di Malaysia, Team Bosskurr mencapai persefahaman untuk membentuk satu pasukan sukan elektronik khusus bagi kategori FIFA. Umum mengetahui bahawa sebelum ini Team Bosskurr lebih sinonim dengan pasukan sukan elektronik kategori “mobile” seperti Mobile Legend Bang Bang dan PUBG Mobile.

Pasukan sukan elektronik GBX mendapat sokongan dan tajaan dari Unifi, BenQ dan Occasin. Dengan penajaan ini, ianya dapat membantu pasukan GBX untuk terus fokus bersaing di dalam kejohanan-kejohanan yang berlangsung samada di dalam negara mahupun kejohanan antarabangsa.

Kejohanan ini boleh disaksikan secara langsung di Facebook Gamesbond dan Team Bosskurr, bermula 7 Januari 2021 pada jam 6 petang.