Zinedine Zidane tidak merancang untuk merehatkan penyerang Real Madrid, Karim Benzema, sambil berjanji akan perlahan-lahan memastikan Eden Hazard mendapatkan tahap kecergasan terbaik.

Benzema gagal menghasilkan sebarang percubaan tepat ketika Madrid menewaskan Celta Vigo 2-0 dalam perlawanan LaLiga awal pagi tadi -- penyerang itu turut terlepas dua peluang ketika berada di posisi terbaik.

Pemain berusia 33 tahun itu telah memulakan 15 daripada 17 perlawanan LaLiga musim ini dan hanya penjaga gol, Thibaut Courtois, dan Raphael Varane, mempunya minit permainan lebih panjang.

Ditanya dalam sidang media sama ada Benzema, yang telah menjaringkan lapan gol dalam saingan LaLiga, memerlukan rehat, Zidane tidak bersetuju dengan pandangan itu.

"Saya tidak fikir dia keletihan. Saya fikir dia melakukannya dengan baik dan hanya mengeluarkannya untuk memberi peluang pemain lain beraksi.

"Kami berada dalam tempoh yang hebat. Kami sedang melakukan perkara yang betul dan kami perlu meneruskannya seperti ini," katanya.

Hazard dimasukkan daripada bangku pemain simpanan pada lewat babak kedua menentang Celta dan ia merupakan penampilan pertamanya sejak mengalami kecederaan pada awal musim ini.

Zidane menambah: "Kami akan melakukannya sedikit demi sedikit, anda perlu memulihkan perasaan itu.

"Kami perlu melakukannya secara perlahan dan tidak memaksa apa-apa.

"Dia perlu kembali ke tahap terbaiknya dan melakukannya secara perlahan-lahan. Itu sahaja."