Zinedine Zidane menegaskan tiada apa yang memalukan di sebalik kekalahan Real Madrid kepada kelab divisyen ketiga, Alcoyano dalam saingan Copa del Rey.

Real dikejutkan dengan kelab Segunda Division B dalam pusingan 32 apabila Juanan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-115 awal pagi tadi.

Jose Solbes terlebih dahulu menafikan jaringan pembukaan Eder Militao dan Alcoyano menemui jaringan kemenangan di sebalik Ramon Lopez dilayang kad merah dalam masa tambahan.

Tetapi ketua jurulatih Real, Zidane, menolak cadangan kekalahan tersebut telah memalukan juara LaLiga itu.

"Itu adalah kata-kata anda. Ia tidak keluar daripada mulut saya," katanya.

"Inilah bolasepak, benar kami berdepan pasukan Segunda B dan kami perlu menang seperti biasa, tetapi pada akhirnya ia tidak berlaku dan tidak ada apa-apa yang memalukan. Ia boleh terjadi dan saya bertanggungjawab di atas kekalahan ini.

"Kami akan terus berusaha… satu lagi hari yang mengecewakan kerana kami tidak mahu tewas, mereka hanya mahukan kemenangan. Kami tidak akan bertindak di luar kawalan dan akan terus berusaha."