Zinedine Zidane percaya bantuan gol yang dilakukan Karim Benzema ketika Real Madrid mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Espanyol awal pagi tadi boleh menjadi antara aksi terbaik musim ini

Benzema mempamerkan sentuhan magisnya ketika membantu jaringan Casemiro yang memberikan Madrid kemenangan 1-0 dan berkelebihan dua mata di puncak LaLiga.

Penyerang itu melakukan kuisan tumit gemilang yang melintasi kaki pemain pertahanan, Bernardo Espinosa, untuk mudah ditolak masuk Casemiro.

Ketua jurulatih Madrid, Zidane, tidak terkejut dengan perkara itu dan percaya kemahiran yang dimiliki Benzema itu boleh menjadi momen terbaik musim ini.

"Ia tidak mengejutkan saya. Dia pemain yang sentiasa menciptakan sesuatu," katanya seperti yang dipetik AS.

"Kemudian ada Casemiro di sana. Ia boleh menjadi antara aksi terbaik dalam kejohanan ini."

Jaringan itu meletakkan Madrid berkelebihan dua mata di depan seteru, Barcelona, berbaki enam perlawanan LaLiga musim ini.

Zidane berkata dia menjangkakan perebutan kejuaraan itu akan berlarutan sehingga ke hari perlawanan terakhir.

"Masih ada enam perlawanan dan ia akan ditentukan pada hari terakhir.

"Anda perlu berjuang dalam setiap perlawanan.

"Hari ini, pasukan di tangga kedua bertemu pasukan tercorot. Anda tidak tahu apa yang akan berlaku dalam liga ini," katanya lagi.

Madrid akan bertemu Getafe dalam perlawanan berikutnya Khamis ini.