MANCHESTER CITY 2 REAL MADRID 1
(City layak menerusi agregat 4-2)

Zinedine Zidane menepis spekulasi mengenai masa depannya awal pagi tadi sambil mendedahkan bahawa dia akan terus menguruskan Real Madrid pada musim depan.


Kempen Madrid pada 2019-20 berakhir di Stadium Etihad dengan kekalahan 1-2 kepada Manchester City dalam Liga Juara-Juara (UCL) -- Los Blancos tersingkir daripada saingan dengan kekalahan agregat 2-4.

Kelab itu bagaimanapun masih mempunyai gelaran liga untuk dibanggakan dalam kempen kali ini yang merupakan mahkota LaLiga pertama mereka sejak 2017.

Ditanya adakah dia merancang untuk menggalas tugas di Santiago Bernabeu pada 2020-21, Zidane dengan nada tegas memberi reaksi.

"Baiklah, saya di sini, saya akan menguruskan Madrid sehinggalah berlaku sesuatu yang tidak biasa.

"Saya kekal di sini, sudah tentu," katanya dalam sidang akhbar.

"Anda tidak perlu memikirkan apa-apa. Saya adalah pengurus Madrid dan itu saja.

"Tiada lagi pertanyaan yang perlu diajukan tentang hal ini. Sekarang kami semua akan berehat dan kembali untuk mengharungi musim yang hebat."

Kesilapan Raphael Varane memberikan Raheem Sterling jaringan pembukaan awal di Manchester di sebalik tandukan padu Karim Benzema memberi harapan kepada Madrid di pertengahan babak pertama.

Namun, peluang mereka untuk mara ke separuh akhir ranap pada minit ke-68 apabila Gabriel Jesus menerkam kegoyahan Varane buat kali kedua untuk memastikan kemenangan buat City.

Zidane, bagaimanapun, menagaskan pasukannya harus berbangga dengan pencapaian mereka musim ini.

"Kami perlu bangga. Saya pasti sangat bangga dengan apa yang telah kami capai," tambahnya.

"Kami tidak gagal ketika kami kalah, kami tetap berasa bahagia. Pasti pemain tidak berasa senang. Tetapi apa yang boleh kami banggakan adalah kami mempunyai musim yang hebat.

"Kuncinya hari ini adalah memberikan segalanya di lapangan dan itulah yang kami lakukan, kami hanya kehilangan sesuatu, saya tidak tahu apa.

"Saya rasa kami masih patut bergembira dengan musim ini. Kami akan melihat apa yang akan terjadi pada musim depan. Buat masa ini, kami mahu berehat sebentar."