Jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane, percaya Barcelona masih lagi memiliki skuad yang mampu memberikan tentangan sengit.

Selepas mengakhiri musim 2019-20 tanpa sebarang trofi, Ronald Koeman kini sedang merombak semula The Blaugrana, yang kini tanpa khidmat pemain seperti Luis Suarez, Arturo Vidal, Ivan Rakitic, Arthur dan Nelson Semedo.

Philippe Coutinho kembali daripada dipinjamkan kepada Bayern Munich dan Miralem Pjanic menyertai pasukan dari Juventus, sementara Lionel Messi akhirnya kekal walaupun telah meminta untuk berhijrah.

Zidane, yang bakal memimpin Real berdepan Real Betis hari ini, berkata Barca masih cukup kuat untuk sekali lagi mencabar gelaran.

"Saya perlu menghormati mereka dan saya tidak mengetahui apa sebenarnya yang berlaku dalam pasukan tersebut, sebab itu saya tidak mahu terlibat," katanya.

"Saya berasakan setiap kelab memiliki isu dan kesukaran yang tersendiri. Saya berasakan Barcelona masih lagi mampu memberikan cabaran musim ini.

"Saya tidak meraguinya."