Pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane, memuji pemainnya yang bangkit daripada kekalahan Liga Juara-Juara Eropah di tangan Manchester City dan menewaskan Barcelona dalam aksi El Clasico, awal pagi tadi.

Real dilanda tekanan susulan kekalahan 2-1 di laman sendiri ketika melayan kunjungan City dalam aksi pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah.

Madrid dibolosi dua kali dalam tempoh 12 minit terakhir ketika berdepan City, namun mempamerkan kebangkitan untuk menewaskan Barca 2-0.

Vinicius Junior dan pemain gantian, Mariano Diaz, meledakkan gol dalam babak kedua sekali gus membolehkan Los Blancos memintas Barca di punca LaLiga.

"Reaksi hari ini sangat penting. Bilik persalinan tidak disentuh. Ia minggu yang rumit tetapi kami bersedia untuk aksi ini. Ia memberi makna besar buat pemain.

"Berdepan City, kami cemerlang selama 78 minit kemudian tewas. Hari ini, kami beraksi dengan baik sejak sepak mula sehingga wisel penamat. Kami perlu sentiasa yakin tetapi sedar ia akan sukar sehingga akhirnya. Kami perlu buktikan kemampuan setiap kali turun beraksi."

"Kami berhak menang kerana bertahan dan menyerang dengan baik," tambah Zidane.

"Babak pertama tidak begitu sempurna tetapi selepas rehat, kami memberi tekanan dan tampil lebih baik.

"Kami memberi tekanan buat lawan. Ia tiga mata penting selepas melalui minggu yang sukar dan hari ini berpeluang untuk mengubahnya. Kami kembali meraih pendahuluan tetapi perlu berjuang sehingga akhirnya.

"Kami gembira kerana telah membuktikan kemampuan dan saya berbangga dengan pemain. Bukan mudah meraih kemenangan sebegini. Kekuatan kami hari ini sangat penting. Perkara pertama adalah bertahan dengan baik, kemudian menggunakan peluang untuk menyumbat gol.

"Babak kedua menjadi milik kami. Kami meraih banyak peluang untuk menjaringkan gol. Kami tidak dibolosi dan Thibaut Courtois menjadi tunjang utama. Kami menang sebagai satu pasukan hari ini."