"Ingatkan sudah boleh dapat gaji penuh," kata penjaga gol Kuala Lumpur, Zamir Selamat, dalam pada teruja untuk memulakan semula sesi latihan.

Selepas beberapa bulan dipotong gaji, barisan pemain dalam Liga Malaysia berharap agar kesukaran itu dapat segera ditamatkan selepas dibenarkan untuk menjalani semula latihan bermula esok.

Namun, susulan penangguhan liga dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) sebelum ini, beberapa persatuan bedepan kesukaran dalam aspek kewangan kerana gagal mencapai kesepakatan dengan pihak penaja.

Ia menyebabkan keputusan untuk memulakan permbayaran penuh gaji pemain perlu dipertimbangkan semula.

Sebagai pemain, Zamir faham akan tekanan yang sedang dihadapi majikannya sambil berharap satu perbincangan akan diadakan di antara kedua-dua pihak bagi mendapatkan penyelesaian menang-menang.

"Kami amat berharap untuk mendapat gaji penuh, cuma kalau ada masalah, pihak pengurusan sendiri boleh berbincang dengan pemain.

"Mungkin akan ada pemain yang bersedia untuk bertoleransi dalam keadaan seperti ini.

"Walaupun bukan semua, mungkin masih ada yang mahu membantu pihak pengurusan.

"Dalam waktu sekarang ini, banyak perkara yang kita perlu lebih-kurang," katanya seperti yang dipetik Nadi Arena hari ini.

Turut senada dengan Zamir adalah pertahanan Petaling Jaya City FC, Fitri Omar.

"Kalau sudah memulakan latihan, memanglah kena beri gaji penuh.

"Bagi saya, mereka tidak boleh memotong gaji seperti sebelum ini.

"Maksudnya, jika sebelum ini 15 peratus (pemotongan), mungkin kini sudah boleh jadi 10 peratus," katanya.