Dua bintang muda paling menyinar dalam Bundesliga menemui sasaran dan mencipta sejarah dalam perlawanan berbeza awal pagi tadi.

Florian Wirtz menjaringkan gol ketika Bayer Leverkusen menewaskan Stuttgart 5-2 manakala Youssoufa Moukoko turut menemui sasaran buat Borussia Dormund ketika tewas 1-2 kepada Freiburg.

Wirtz menjaringkan gol keempat Leverkusen dalam kemenangan yang melonjakkan pasukan itu ke tangga keempat liga sebelum pemain baru, Demarai Gray, menjaringkan gol kelima.

Ia merupakan gol kelima Wirtz dalam Budesliga dan dia menjadi pemain termuda melakukannya pada usia 17 tahun, sembilan bulan dan tiga hari.

Tiada pemain lain dalam liga utama Jerman itu pernah menjaringkan lima gol sebelum berusia 18 tahun.

Wirtz menjadi penjaring gol termuda dalam sejarah Bundesliga ketika dia menemui sasaran ke atas Bayern Munich pada penghujung musim lalu -- melakukannya pada usia 17 tahun dan 34 hari.

Tetapi rekod itu kemudian diambil alih Moukoko pada Disember lalu dengan penyerang muda Dortmund itu melakukannya pada usia 16 tahun dan 28 hari ketika pasukannya tewas 1-2 kepada Union Berlin.

Sejak itu, Moukoko tidak pernah menjaringkan sebarang gol sehingga pasukannya tewas tipis kepada Freiburg semalam -- menjaringkan gol sagu hati susulan menggantikan Marco Reus selepas sejam perlawanan.

Dia secara langsung menjadi pemain termuda menjaringkan dua gol dalam sejarah Bundesliga dengan melakukannya 505 hari lebih muda berbanding penyandang sebelumnya, Christian Pulisic.