Rio Grande Valley FC Toros mengumumkan hari ini bahawa mereka telah menandatangani pemain tengah berdarah Malaysia, Wan Kuzain Wan Kamal, untuk beraksi dalam Liga Amerika Syarikat (USL) musim ini dan hanya menunggu kelulusan daripada liga dan persatuan bola sepak negara itu.

Sebelum ini, Wan Kuzain beraksi mewakili Sporting Kansas City (SKC) dalam Liga Utama Amerika Syarikat (MSL) tetapi tidak diturunkan sepanjang musim 2020 dan hanya sekali mewakili SKC II sebagai pemain pinjaman sepanjang tempoh itu.

Dalam musim 2019, pemain berusia 22 tahun itu telah diturunkan sebanyak 25 kali mewakili SKC II dan menghasilkan satu gol dan dua bantuan jaringan.

"Kami tidak sabar untuk membawa Wan ke kelab kami kerana dia seorang pemain yang amat berbakat dan berpengalaman, bukan sahaja dalam UCL tetapi juga dalam MSL bersama Sporting Kansas City," kata ketua jurulatih Toros, Wilmer Cabrera, dalam laman web rasmi mereka.

"Walaupun dia masih muda, kami percaya dia mampu menjadi tonggak terbaik untuk pasukan kami membina gaya permainan yang baik dan kami pasti dia akan menjadi pemain yang memberikan kesan dengan cara yang diingati buat Toros."