Marco Verratti mengakui Paris Saint-Germain 'mula melepaskan banyak peluang' untuk mempertahan gelaran Ligue 1 selepas tewas 2-0 kepada Monaco.

Lima hari selepas memenangi 4-1 ke atas Barcelona dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) PSG kecundang di Parc des Princes semalam.

Kekalahan kedua PSG di bawah kendalian Mauricio Pochettino menyaksikan PSG di tangga ketiga Ligue 1, dua mata berkelebihan ke atas Monaco, yang berada di tempat keempat, empat mata di belakang pendahulu liga, Lille.

Ini bermakna PSG tanpa kemenangan dalam empat perlawanan dalam saingan Ligue 1 musim ini, tewas 3-2 dan 2-0 kepada Monaco, 1-0 di laman sendiri kepada Lyon dan seri tanpa jaringan dengan Lille.

Verratti, cemerlang bertemu Barca, hadir sebagai pemain gantian pada minit ke-55 di Paris, melakukan 43 hantaran dan menghasilkan satu peluang.

"Ia perlawanan yang sukar, mereka dibarisi pemain berkualiti. Ini adalah perlawanan aygn patut anda menang," kata Verratti kepada Canal+. "Kami mula kehilangan banyak peluang untuk merangkul gelaran.

"Kami melepaskan gol selepas lima minit, itu tidak seharusnya berlaku. Kami harus faham bahawa ada pasukan hebat di Perancis.



"Kami mesti sentiasa bermain sebagai satu pasukan; tidak ada yang akan memberi kami hadiah, pasukan lain memainkan permainan kehidupan mereka terhadap PSG.

"Anda perlu bangkit dalam perlawanan ini, bermain dengan cemerlang kerakan jika tidak, anda tidak akan menang."