Pengurus Portugal, Fernando Santos, kecewa dengan ketumpulan kreativiti dan "taring" ketika diikat 0-0 dengan Perancis dalam Liga Negara-Negara (UNL), awal pagi tadi.

Di hadapan sekitar 1.000 peminat yang di Stade de France, sejumlah bintang elit bola sepak Eropah dijangka menonjolkan aksi yang menghiburkan.

Tetapi di sebalik himpunan penyerang ternama dalam pertemuan itu termasuk kehadiran Cristiano Ronaldo dan Kylian Mbappe, perlawanan berkenaan gagal menterjemahkan sebarang gol yang menyaksikan Perancis gagal mmenuntut bela dalam pertemuan pertama kedua-dua pasukan terbabit sejak kemenangan Portugal dalam perlawanan akhir Euro 2016.

Walaupun Portugal tampil dengan persembahan terpuji, Santos tampak sedikit kecewa, seolah-olah menagih keputusan yang lebih memberangsangkan.

Dia berkata: "Ini adalah satu perlawanan yang sangat seimbang di antara dua pasukan yang terlalu berhati-hati terutama dalam hal serangan.

"Bukannya kami terlalu saling menghormati memandangkan kami memiliki pemain berkualiti, tetapi perlawanan ini agak lembab.



"Kami kurang agresif memburu gol. Dalam perlawanan seperti inilah pengurus selalunya akan membuat tuntutan lebih tinggi.

"Kami perlu tersusun ketika mengatur gerakan tetapi kami juga perlu kreativiti agar percubaan dapat dilakukan. Kedua-dua pasukan gemar berlegar-legar dengan hantaran.

"Apabila rentak permainan berubah, barulah kedua-dua pasukan saling menimbulkan masalah."

Bagaimanapun, pertahanan kanan Portugal, Nelson Semedo, berpandangan lebih positif.

Dia berkata: "Saya rasa secara amnya kami telah menampilkan permainan yang hebat. Pertahanan melakukan tugas dengan baik.

"Mereka mempunyai pasukan yang mantap, deretan pemain yang bagus dan kami berjaya mengekangnya, Kami berakhir dengan keputusan seri walaupun kami mahu menang tetapi saya tidak fikir ia adalah hasil yang teruk."

Kebuntuan menghasilkan jaringan meletakkan Portugal dan Perancis terikat tujuh mata di puncak Kumpulan A3 selepas tiga perlawanan sementara Croatia, yang menewaskan Sweden 2-1, di tangga ketiga dengan ketinggalan empat mata.