Jadon Sancho dan Tammy Abraham kembali ke pangkuan skuad England selepas disisihkan dalam perlawanan pemanas badan dengan Wales akibat melanggar protokol COVID-19.

Sancho, Abraham dan Ben Chilwell tersisih dalam kemenangan 3-0 kelmarin selepas mereka dikesan menghadiri satu pesta, Sabtu lalu.

Ketiga-tiganya membuat kejutan ulang tahun buat penyerang Chelsea, Abraham, yang menegaskan bahawa dia sememangnya tidak mengetahui perancangan itu lalu meminta maaf.

Tabloid British, The Sun, mendakwa kira-kira 20 orang telah menghadiri majlis itu walaupun peraturan di Britain melarang pertemuan sosial lebih daripada enam orang.

Sancho juga bertanggungjawab atas tindakannya itu dalam permohonan maaf di Instagram sebelum Southgate mengesahkan mereka perlu didenda, sekurang-kurangnya untuk perlawanan menghadapi Wales.

Southgate mengatakan sedia kembali mempertaruhkan sentuhan mereka bagi menghadapi Belgium dalam Liga Negara-Negara Eropah (UNL) tengah malam ini -- bergantung sama ada mereka lulus ujian calitan COVID-19 -- yang dilakukan dua hari sebelum seperti yang ditetapkan Persatuan Bolasepak Eropah (UEFA) dan mereka diberi kesempatan untuk kembali terbabit dengan persiapan pasukan.


"Tammy dan Jadon sama-sama turun berlatih pagi ini, jadi semua pemain ada," kata Southgate kepada wartawan.

"Mereka jelas terlepas beberapa sesi latihan jadi ia agak membimbangkan daripada segi beban mereka sepanjang minggu ini tetapi hukuman ke atas mereka sudah berakhir.

"Mereka kembali bersama kumpulan dan kami ingin terus memandang ke hadapan."

Chilwell dalam keraguan atas sebab masalah kesihatan yang mengakibatkannya tidak dapat menjalani ujian calitan yang ditetapkan UEFA.

"Ben akan diuji hari ini dan kami harus menunggu keputusan ujian itu esok sebelum membuat sebarang keputusan lanjut," tambahnya.

Jack Grealish mencuri perhatian dengan ketiadaan Sancho apabila mencipta umpanan untuk gol pertama Dominic Calvert-Lewin bersama England.

Namun, Southgate ingin meredakan perbandingan di antara perancang Aston Villa itu dengan bekas bintang The Three Lions, Paul Gascoigne.

"Saya amat menyedarinya, saya tidak mahu melemahkan semangat Jack, saya selalu menjawab dengan jujur ​​mengenai orang lain tetapi apabila anda bercakap tentang Gascoigne, pada pendapat saya tiada lagi pemain dalam sejarah Inggeris yang dilahirkan sepertinya," katanya.

"Tetapi saya tidak mahu itu dilihat sebagai kritikan terhadap Jack. Dalam banyak hal, Gascoigne adalah unik, pemain yang luar biasa, ia seperti bercakap mengenai Bobby Moore.

"Pemain muda tidak seharusnya dibebani dan mmbandingkan mereka dengan yang lain, bakat mereka adalah unik.

"Saya boleh memahami beberapa perbandingan, tetapi saya rasa Gascoigne berada di tahap yang berbeza dengan pemain lain yang pernah saya beraksi bersama."