Mesut Ozil memimpin gesaan agar Joachim Low kembali menyenaraikan Jerome Boateng selepas Jerman dibelasah 0-6 oleh Sepanyol, awal pagi tadi.

Pemenang Piala Dunia 2014 itu menempa kekalahan terbesar dalam sejarah mereka sekali gus terlepas tempat ke pusingan akhir Liga Negara-Negara (UNL).

Ferran Torres meledak hatrik dan masing-masing satu gol dilakar Alvaro Morata, Rodri dan Mikel Oyarzabal ketika Sepanyol menghasilkan persembahan terbaik mereka di Seville.

Jerman sekadar mengatur dua percubaan tidak tepat selain hanya memiliki 30 peratus penguasaan bola di sebalik pasukan tuan rumah kehilangan ketua pasukan, Sergio Ramos dan Sergio Canales, akibat kecederaan dalam separuh masa pertama.

Kekalahan itu menambah tekanan kepada Low untuk mempertahankan kedudukannya, lebih-lebih lagi skuad Die Mannschaft mempamerkan prestasi tidak menentu sejak pengurus berusia 60 tahun tersebut menyingkirkan Boateng, Thomas Muller dan Mats Hummels dalam perancangannya ekoran tersingkir awal dalam Piala Dunia 2018.

Pemain tengah Arsenal, Ozil, yang mengundurkan diri daripada bola sepak antarabangsa pada tahun yang sama dan seperti berpatah arang dengan Jerman, membuat kejutan apabila memberi pandangannya kepada pasukan kebangsaannya.

"Masa untuk membawa Jerome Boateng kembali," katanya menerusi Twitter disertai tanda pagar akaun pasukan kebangsaan.



Kekalahan itu amat membimbangkan kerana mereka hanya memerlukan seri untuk menjamin tempat dalam pusingan akhir UNL tahun depan.

Pengarah pasukan, Oliver Bierhoff, gusar dengan benteng Jerman tetapi menegaskan Low pasti akan mendapat sokongan mereka.

Dia berkata kepada ARD: "Kami harus menelan kepahitan ini. Ia akan memakan masa yang lama. Pasukan ini hancur sama sekali, ini tidak boleh dibiarkan terjadi. Tiada alasan untuk itu tetapi ia boleh berlaku apabila sesebuah pasukan gagal mendapat rentak sama sekali.

"Penjaga gol Sepanyol langsung tidak diuji sepanjang perlawanan. Kami harus menganalisis perkara ini sedalam-dalamnya. Pengalaman mentah bukanlah alasan.

"Kami perlu perbaiki banyak masalah di bahagian pertahanan. Kami tahu kualiti pemain kami.

"Sudah tentu Joachim Low akan terus diberi kepercayaan."