Hugo Lloris mempertahankan kelibat Antoine Griezmann daripada pengkritik sambil menegaskan penyerang Barcelona itu tetap merupakan watak penting buat Perancis.

Persembahan Griezmann menjadi bualan sejak 15 bulan terakhir selepas dia menyempurnakan perpindahan daripada Atletico Madrid ke Barca.

Pemain berusia 29 tahun itu gagal mewujudkan keserasian bersama skuad Catalan itu dengan gol terakhirnya dalam LaLiga -- satu dari sembilan yang dijaringkannya musim lalu -- menerusi kemenangan 4-1 di Villarreal, 5 Julai lalu.

Griezmann, yang mencetak gol ketika mereka membenam Ukraine 7-1, turut menemui penyudah dalam kemenangan 4-2 ke atas Croatia untuk kempen Liga Negara-Negara (UNL) tetapi menjelang pertemuan timbal balik di Zagreb awal pagi esok, dia sekali lagi menjadi mangsa kritikan terhadap pasukan kebangsaan.

Dalam keputusan terikat tanpa jaringan dengan Portugal, kelmarin -- bekas bintang Atletico Madrid itu memainkan peranan sebagai pemain nombor 10 dengan bergerak di belakang Olivier Giroud dan Kylian Mbappe -- tetapi hanya mampu melepaskan dua percubaan dan mencipta satu peluang buat rakan sepasukan.

Namun, dia melakukan 55 hantaran di kawasan lawan -- catatan terbanyak dalam kalangan pemain-pemain -- termasuk memberi tekanan ketika kehilangan bola dengan 11 kali berjaya menguasai semula permainan.

Kualiti seperti itulah pada pandangan Lloris menjadi elemen penting meskipun penyudah Griezmann pada masa ini kurang berbisa.



"Anda tidak boleh mempersoalkan pemain seperti Antoine Griezmann atas semua yang telah disumbangkannya dan segala yang dicurahkan bersama Perancis dalam beberapa tahun terakhir ini," kata penjaga gol Tottenham itu kepada wartawan, malam tadi.

"Semua pemain mempunyai tempoh pasang surut. Ada saat-saatnya anda akan lebih menyerlah berbanding yang lain. Ketika ini dia mengalami detik yang agak rumit di bahagian serangan tetapi apa pun, saya melihatnya sebagai seorang pemain yang sedia turun bertahan dan berjuang untuk pasukannya. Tidak syak lagi mengenai perkara itu.

"Kami harus terus berdiri di belakang dan membantunya juga. Dia memiliki keyakinan penuh daripada kami. Kami tahu dia mempunyai kemampuan untuk mencipta jurang pada detik yang sangat penting untuk Perancis.

"Ayuh kita semua bersabar tetapi bagaimanapun, Perancis hanya akan menjadi mantap sekiranya kami bersatu dan tidak menuding jari kepada mana-mana pemain."

Lloris turun menganggap kehadiran sebilangan penyokong Croatia di stadium esok akan menyemarakkan lagi perlawanan itu.