Undian ACL: JDT diundi bersama Nagoya Grampus

By Ammar Hakim 27 January 2021 1285
Undian ACL: JDT diundi bersama Nagoya Grampus
​Juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) diundi dalam Kumpulan G saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) bersama kelab Jepun, Nagoya Grampus.

Undian ACL yang berlangsung secara virtual hari ini akhirnya menjawab persoalan peminat bolasepak tempatan tentang apa yang bakal menanti JDT.

Ini merupakan tiga tahun berturut turut JDT layak ke ACL dan kali ini, JDT diundi dalam Kumpulan G bersama Nagoya Grampus, Jiangsu dari China.

Manakala slot keempat kumpulan itu akan diisi sama ada Pohang Steelers dari Korea Selatan ataupun Ratchaburi Mitr Phol dari Thailand.

Sementara itu, dalam saingan Piala AFC menyaksikan dua wakil negara, Kedah dan Terengganu FC mempunyai undian dan laluan yang berbeza.

Kedah bakal menghadapi laluan cukup menarik apabila diundi dalam Kumpulan H, bersama kelab Singapura Lion City Sailors yang juga merupakan bekas kelab kendalian Aidil Sharin Sahak.

Kumpulan itu juga bakal menyaksikan saingan daripada wakil Vietnam, Saigon Football Club.

Sementara Terengganu pula diundi dalam kumpulan I di mana pasukan kendalian Nafuzi Zain akan membuat perhitungan dengan Kaya FC dari Filipina, Geylang International dari Singapura dan sama ada Shan United ataupun Ayeyawady United dari Myanmar.



"Saingan Piala AFC menyaksikan barisan pasukan yang terbaik di rantau Asia. Jadi kami akan berusaha untuk menampilkan persembahan di pentas ini dan cuba menilai terlebih dahulu kemampuan lawan kami," kata Nafuzi.

"Saya sangat teruja kerana dapat berdepan bekas pasukan saya. Saya tidak sabar menghadapi saingan ini kerana bakal bertemu pasukan yang telah saya bimbing sebelum ini," kata Aidil.

About Author

Ammar Hakim

Comment