Persatuan Bolasepak Eropah (UEFA) menangguhkan semua perlawanan peringkat kebangsaan di bawah naungannya Jun depan termasuk perlawanan play-off ke pusingan akhir Kejohanan Euro 2020.

Badan pentadbir bola sepak Eropah itu mengadakan sidang video bersama wakil dari semua 55 persatuan ahli semalam.

Mereka yang terlibat itu mempertimbangkan cadangan yang dibuat oleh kumpulan kerja UEFA yang ditubuhkan bulan lalu dalam misi menangani cabaran yang dicetuskan oleh wabak koronavirus baru (Covid-19).


Selepas mesyuarat pada 17 Mac lalu, Euro 2020 sah ditunda ke tahun depan.

Bagaimanapun, semua perlawanan UEFA kini ditangguhkan sehingga notis selanjutnya manakala tarikh akhir yang berkaitan dengan kempen 2020-21 di peringkat kelab juga ditangguhkan, tetapi kebanyakan kontrak pemain akan beraksi pada 30 Jun depan, seterusnya boleh mencetuskan komplikasi yang berpotensi.



"Tarikh akhir yang berkaitan dengan semua pertandingan peringkat kelab 2020-21 UEFA ditangguhkan sehingga notis selanjutnya, khususnya mengenai proses kemasukan dan pendaftaran pemain," kata badan induk dalam satu kenyataan.

"UEFA akan menetapkan tarikh akhir yang baru dalam masa terdekat."

Dalam mesyuarat terdahulu, UEFA komited untuk mencuba dan menamatkan semua kejohanan-kejohanan domestik di Eropah menjelang akhir Jun depan tetapi dengan situasi semasa di benua itu, ia dilihat tipis.

UEFA juga akan melonggarkan langkah Fair Play Kewangan dan pelesenan kelab tahun depan memandangkan mereka berdepan krisis yang belum terjadi sebelum ini.

"Jawatankuasa Eksekutif mengulangi komitmen penuh terhadap pelesenan kelab dan Fair Play Kewangan dan bersetuju bahawa keadaan luar biasa ini memerlukan beberapa langkah tertentu untuk memudahkan kerja persatuan dan anggota kelab," kata kenyataan tersebut.