Serbia diarahkan untuk beraksi tanpa penyokong dalam perlawanan di gelanggang sendiri selepas memaparkan tingkah-laku perkauman ketika perlawanan menentang Portugal bulan lalu.

Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) mengumumkan hukuman terhadap penyokong Serbia itu -- penggantungan dua perlawanan dengan satu daripadanya ditunda selama 12 bulan sebagai tempoh pemantauan -- awal pagi tadi.

Portugal menewaskan Serbia 4-2 dalam pusingan kelayakan Euro 2020 di Belgrade bulan lalu dan perlawanan itu dicemari kelakuan bersifat perkauman penyokong pasukan tuan rumah itu.

UEFA mendakwa Persatuan Bolasepak Serbia dengan enam pertuduhan, termasuk kelakuan perkauman, sorakan tidak sopan, pancaran bunga api dan pencorobohan padang yang dilakukan penyokong mereka.

Mereka juga berdepan dakwaan dua kesalahan kelewatan sepak mula perlawanan.

Satu kenyataan yang dikeluarkan UEFA berkata badan kawalan, etika dan disiplin organisasi itu akan "memerintahkan Persatuan Bolasepak Serbia untuk menjalankan dua perlawanan sebagai tuan rumah secara tertutup dengan yang kedua-duanya akan ditunda sepanjang tempoh pemantauan selama setahun disebabkan kelakuan perkauman penyokongnya".

UEFA menambah: "FA Serbia diperintahkan untuk memaparkan sepanduk dengan perkataan #EqualGame dengan logo UEFA di atasnya, dalam perlawanan di bawah kelolaan UEFA di laman sendiri."

FA Serbia juga didenda sebanyak €33,250 (RM155,071) manakala ketua jurulatihnya, Ljubisa Tumbakovic, turut diberikan amaran kerana melewat-lewatkan sepak mula perlawanan.