Zinedine Zidane berasakan Real Madrid telah mempamerkan aksi paling sempurna sepanjang musim ini ketika menewaskan Borussia Monchengladbach 2-0 dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi tadi.

Sedar hanya kemenangan mampu membawa mereka ke pusingan 16 UCL, Madrid menyelesaikan misi itu di Estadio Alfredo Di Stefano apabila Karim Benzema menanduk masuk dua gol pelawat dalam babak pertama.

Benzema, Luka Modric dan Lucas Vazquez kesemuanya melakukan percubaan yang terkena palang manakala penjaga gol lawan, Yann Sommer, melakukan aksi menyelamat gemilang bagi menafikan jaringan Sergio Ramos dan Toni Kroos.

Keputusan itu kekal sehingga tamat perlawanan untuk Madrid melangkah ke pusingan 16 buat kali ke-29 berturut-turut manakala Galdbach turut layak selepas Inter Milan dan Shakhtar Donetsk terikat 0-0 dalam satu lagi perlawanan.

Seandainya gagal layak, kedudukan Zidane pasti menjadi taruhannya dan ketua jurulatih Madrid itu gembira dengan cara pasukannya beraksi di bawah tekanan.

"Ini adalah objektifnya, untuk menamatkannya selaku pendahulu kumpulan," katanya seperti dipetik Marca.

"Kami bermain dengan amat menarik dari minit pertama hingga terakhir. Kami membaca perlawanan ini dengan amat baik.

"Saya fikir ini adalah perlawanan paling sempurna kami musim ini

"Saya pernah menjadi pemain dan amat mustahil untuk bermain seperti ini setiap masa.

"Kami mencuba untuk melakukannya setiap masa.

"Kami bukan sahaja beraksi baik di bawah tekanan, kami bermain baik dalam perlawanan lain juga. Benar pasukan ini mempunyai kualiti seperti itu. Apabila kesukarannya besar, ia akan kelihatan.

"Saya gembira buat pemain kerana mereka adalah perkara paling penting.

"Saya berjuang bersama mereka dan saya gembira untuk mereka. Ia perlawanan yang hebat," katanya.