Mauricio Pochettino menyifatkan Keylor Navas sebagai antara penjaga gol terbaik dunia selepas pemain itu membantu Paris Saint-Germain (PSG) menyingkirkan Barcelona dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi tadi.

Keputusan 1-1 di Paris memastikan kemaraan PSG ke suku akhir dengan kelebihan agregat 5-2 ke atas pasukan Catalan itu.

Barca mempamerkan aksi yang jauh lebih baik berbanding pertemuan pertama dan mereka amat dominan dalam babak pertama dengan melakukan 16 percubaan, rekod tekanan paling tinggi buat PSG sepanjang 45 minit pertama di laman sendiri.

Gol gemilang Lionel Messi memadamkan jaringan penalti awal Kylian Mbappe dan bintang Argentina itu berpeluang untuk menjadikan kedudukan 2-1 menerusi sepakan penalti sebelum waktu rehat tetapi Navas menyelamatkan situasi itu.

Ia merupakan salah satu daripada sembilan aksi menyelamat bekas penjaga gol Real Madrid itu, di mana usahanya telah melenyapkan peluang Barca untuk melakukan kebangkitan dalam babak kedua.

Aksi Navas itu menjadi peringatan mengenai kualiti yang dimilikinya selepas terdapat laporan di England mendakwa Pochettino berminat untuk menandatangani penjaga gol Manchester United, David de Gea, musim depan.

Tetapi pengendali PSG itu kelihatan amat gembira dengan aksi cemerlang penjaga gol utamanya buat masa ini.

"Keylor memainkan peranan yang amat besar," katanya kepada RMC.

"Kami boleh katakan aksinya telah membuktikan kualitinya. Dia telah membuktikan bahawa dia perada di tahap tertinggi di dunia.

"Saya fikir kita semua dapat melihatnya malam ini," katanya.

Pertahanan PSG, Marquinhos, turut memuji Navas kerana menyelamatkan banyak momen getir dalam babak pertama, di mana pasukan pelawat, Barca, menguasai 73 peratus permainan.

"Ia perlawanan yang sukar, Kami sedar keadaannya akan menjadi berbeza berbanding perlawanan pertama.

"Sejak kekalahan itu, Barca telah beraksi dengan lebih baik. Mereka mempunyai keberanian untuk melakukan serangan dan meletakkan kami dalam keadaan susah untuk mendapatkan bola.

"Terdapat waktu baik dan waktu buruk dalam bola sepak. Dalam perlawanan, anda perlu tahu bagaimana untuk bertahan. Kami dapat melakukannya dengan bantuan penjaga gol hebat yang telah menjadi pemisah.

"Kami bermain lebih baik dalam babak kedua dan layak meneruskan kemaraan," katanya.