Rudi Garcia berasakan Lyon terpaksa menerima padah kerana tidak mengambil peluang ketika menentang Bayern Munich walaupun masih berbangga dengan pencapaian pasukannya melangkah sehingga ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Pasukan Perancis itu menyingkirkan Juventus dan Manchester City sebelum ke separuh akhir kejohanan itu dan mereka turut berpeluang untuk berada di depan ketika menentang Bayern di Lisbon awal pagi tadi.

Garcia sedar Lyon sepatutnya memperoleh kejayaan dengan taktikal garisan pertahanan tingginya tetapi kegagalan Memphis Depay dan Karl Toko Ekambi ketika perlawanan masih terikat tanpa jaringan dalam babak pertama menyukarkan usaha mereka.

Serge Gnabry kemudian menghasilkan gol berganda untuk meletakkan juara Bundesliga itu selesa di depan sebelum Robert Lewandowski menjaringkan gol ketiga pada lewat permainan untuk mengesahkan kemaraan Bayern bertemu Paris Saint-Germain (PSG) dalam final hujung minggu ini.

Bagi Garcia, keputusan akhir itu lebih memihak Bayern kendalian Hansi Flick.

"Kami boleh berbangga dengan pencapaian dan permainan kami tetapi ia satu kekecewaan yang boleh dielakkan," kata bekas pengendali AS Roma dan Marseille itu kepada RMC Sport.

"Kami gagal kerana kami sepatutnya perlu mendahului tetapi malangnya, kami ketinggalan.

"Kami berasakan ia satu ketidakadilan dan kami agak kecewa.

"Ketika kedudukan 2-0, ia menjadi semakin sukar walaupun kami tidak menyerah kalah dalam babak kedua.

"Kami sedar kami perlu bermain ke atas dan perlu berada di belakang pertahanan sayap mereka, seperti ketika Mempis dan Karl memperoleh peluang.

"Apa yang kami gagal lakukan dengan baik dalam babak pertama adalah menggunakan bola dan menggerakkannya di bahagian tepi.

"Kami melakukannya dengan jauh lebih baik dalam babak kedua tetapi jika anda tidak menjaringkan gol, anda tidak dapat layak (ke final).

"Kami percaya kami mampu ke final dan ia dibuktikan dalam perlawanan ini.

"Apabila kami memperoleh peluang, kami dapat lihat Bayern beraksi goyah.

"Keputusan ini tidak menggambarkan perlawanan sebenar," katanya.