Ketua jurulatih RB Leipzig, Julian Nagelsmann, menjangkakan Liverpool, yang tidak berada di prestasi terbaik, akan bangkit seperti "peninju cedera" menjelang perlawanan pertama pusingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi esok.

Nagelsmann percaya Liverpool akan fokus sepenuhnya dalam saingan Eropah selepas peluang mereka untuk mempertahankan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) kian tipis berikutan tiga kekalahan berturut-turut dan dominasi Manchester City di tangga teratas.

Juara bertahan itu kini ketinggalan 13 mata di belakang City selepas tewas 1-3 kepada Leicester City hujung minggu lalu.

Di sebalik prestasi buruk itu, Nagelsmann percaya skuad The Reds itu akan kembali menyinar di Arena Puskas, Hungary awal pagi esok.

"Saya tidak fikir saya perlu mengingatkan pasukan saya tentang peninju yang cedera itu. Saya percaya pasukan saya sedar bahawa mereka adalah pasukan berkelas dunia," kata Nagelsmann, yang pasukannya layak ke separuh akhir UCL musim lalu.

"Juga, jika anda mendengari apa yang diperkatakan pasukan EPL, walaupun mereka sedang menghadapi krisis kecil, setiap pengurus masih berkata setiap kali selepas tamat perlawanan bahawa Liverpool, selain Manchester City, masih pasukan paling sukar untuk ditewaskan dalam EPL.

"Ini kerana mereka mempunyai skuad yang seimbang. Sukar untuk dicapai dan bervariasi. Seperti yang (penjaga gol Leipzig) Peter Gulasci katakan, mereka boleh menghadapi pelbagai perkara dalam satu-satu masa," katanya.