Thomas Tuchel memahami kritikan terhadap Paris Saint-Germain (PSG) dan tidak mengendahkan golongan yang mempersoalkan kredibilitinya -- peminat dan wartawan yang menonton perlawanan di sofa.

PSG tidak mempamerkan prestasi meyakinkan dalam perlawanan Liga Juara-Juara (UCL), Rabu lalu selepas finalis musim lalu itu meraih kemenangan tipis 1-0 di RB Leipzig.

Gol tunggal perlawanan itu disumbangkan menerusi sepakan penalti Neymar pada minit ke-11 yang juga salah satu daripada hanya tiga percubaan tepat yang dilancarkan PSG.

Begitupun, Tuchel tidak akan meminta maaf hanya kerana menang dengan cara yang agak jelik memandangkan Leipzig menikmati 63 peratus penguasaan bola dan mencipta 15 percubaan tepat.

Lantas, pengendali dari Jerman itu menjelaskan bahawa prestasi mereka merosot gara-gara keletihan akibat jadual padat walaupun ia bukan satu-satunya persembahan kurang berkesan mereka dalam beberapa bulan terakhir ini.




Sebelum perlawanan pertengahan minggu ini, jaguh dari Paris itu tumpas tiga kali daripada tujuh perlawanan.

Ia secara tidak langsung mengundang persoalan mengenai kedudukan Tuchel, justeru dia mengingatkan peminat dan wartawan bahawa mereka tidak melihat semua perkara menerusi kaca matanya.

"Sekiranya kritikan menyentuh mengenai bilik persalinan, itu akan menyatukan kami," katanya kepada pemberita menjelang lawatan ke Bordeaux awal pagi esok.

"Saya boleh menerima kritikan tetapi kami di posisi berlainan. Pengkritik terdiri daripada penyokong, wartawan. Tetapi saya tidak menonton perlawanan ini di televisyen atau di sofa.

"Saya bersama pasukan, saya menjalani setiap hantaran, larian di samping pasukan saya dan anda mempunyai perasaan yang sama sekali berbeza selepas perlawanan berbanding sekadar menontonnya di televisyen.

"Saya boleh menerima kritikan, tetapi anda juga sepatutnya memahami bahawa situasi kami berbeza. Saya menganggap wartawan ingin meyakinkan saya tentang pendapat mereka tetapi saya tidak sependapat dengan mereka kerana saya adalah sebahagian kecil daripada kumpulan ini."

PSG mengesahkan pertahanan, Marquinhos, akan direhatkan ketika berhitung dengan Bordeaux, awal pagi esok, sebagai langkah berjaga-jaga dengan masalah ototnya menjelang kunjungan ke Old Trafford, minggu depan, dalam misi layak ke pusingan 16.

Bagaimanapun, Mauro Icardi dan Marco Verratti berkemungkinan akan mendapat peluang bagi mengembalikan rentak permainan sebelum mereka bertemu Manchester United.